Showing posts with label ape ade kat kepale saye. Show all posts
Showing posts with label ape ade kat kepale saye. Show all posts

Sunday, October 20, 2024

Masa Silam dan Masa Depan

 As Salam,


“Munir, bila kau free?”

“Mak nak mintak kau bawa teman jumpa kawan mak masa mengajar kat Air Tawar 1 dulu. Suami dia baru meninggal.”

Alhamdulillah, atas nikmat masa, aku dapat temankan mak aku minggu depannya.

Bila tiba di rumahnya, mak aku dan kawannya berpelukan, 

“ Sudah sampai masamya, Mi” ujar sahabat mak aku tentang kematian suaminya.

Mereka berdua berbual tentang pelbagai perkara, tentang seorang  sahabat baik lain yang sudah meninggal, 

Tentang pencen,

Tentang anak,

Tentang tanah pusaka,

Dan semestinya, memori zaman muda mudi mereka.


Berkongsi gambar zaman kegemilangan masing-masing.


Mengabadikan kenangan masa emas 


Tidak dapat lari , kadang-kadang singgah di fikiranku, apa agaknya keadaan aku dan sahabat masa tua andai  umur ku panjang,

“ Adakah aku akan habiskan sisa hidup keseorangan di rumah penjagaan? Seperti sahabat emak aku , Mak cik N”

“Adakah aku akan seperti emak ku yang melawat sahabat-sahabatnya sama ada sakit atau kematian suami”

Ketika sekolah, kita pasti berangan-angan , apa yang bakal kita hadapi ketika dewasa.
Teka ,
Siapa yang dulu berumah tangga?

Rumah yang macam mana?

Nanti ada anak berapa?

Kerjaya apa?



Tapi, di usia ini, aku tertanya siapa antara kita yang akan pergi dulu,

Kau atau aku?

Bertanya soalan yang tiada guna.
Kita serah je kepada Yang Maha Kuasa.

Salah satu nikmat yang aku syukuri ketika ini, masih boleh menikmati masakan emak.

Masakan emak adalah yang terbaik walaupun gorengan kuih frozen. 

Alhamdulilllah.

Tuesday, June 11, 2024

Pengakuan berani mati


As Salam,

Pejam celik dah separuh perjalanan tahun 2024 ni oiii.

Aku punya target banyak belum tercapai, sempat ke tidak nak pecut ni korang??? 

Kebelakangan ni aku rasa hari-hari aku hanya rutin yang sama   pergi kerja balik kerja, 

Hari cuti; kemas rumah , basuh baju dan qada tidur.

Dan, kebetulan hari ni aku cuti, aku contact kawan aku Nisak , sebab nak borak depan-depan haha nak berinteraksi secara langsung. 


Ya, sebagai seorang introvert tegar, aku memang suka sendiri, tapi dah hukum alam, manusia ni kadang-kadang perlu berhubung dengan ‘jasad’  lain , keperluan untuk meluahkan perasaan  memang lahir secara alami dalam diri 
agar mental kekal stabil. haha.




Terima kasih Nisak, sebab suka bercerita dan berkongsi pandangan tentang pelbagai isu.
Dari isu dunia ; drama cinta,  geopolitik, pendidikan hinggalah hari kematian dan hari kiamat.




Minta maaf adik belakang tu, masuk dalam blog saya,  malas bubuh sticker. 




Aku bersyukur , ada kawan yang bila aku perlukan, just one call whatapps away je.




Dan , ya aku mengaku dalam hati aku , setinggi mana keinginan  aku untuk tengok kau menjadi isteri orang,
Tapi, dalam masa yang sama aku bersyukur kerana kau masih single dek banyak tolak pingangan orang.

Alamakkkk 😜 bukan rahsia lagi. 
Kucing = me 
Lariiiiiiii😆



 



Saturday, June 8, 2024

Dengan Mengingati Mati


As Salam,


Alhamdulillah

Alhamdulillah

Alhamdulillah

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam.

Dengan uban dan garis-garis kedutan ,

Mengingatkan aku dah umur tiga puluh enam,

Menampar muka aku agar menjadi matang,

Cukuplah memikirkan tentang hari semalam,

Cukup tentang penyesalan,

Angkat dagu , dan hidup untuk masa depan.

10 tahun lalu, ketika kawan serumah aku meninggal dunia, aku terfikir jika aku juga akan pergi pada usia 30 an, 

ketika itu mungkin di usia ini, 

aku sepatutnya sudah sedia dengan bekalan menghadapi mati,

Tapi,

hutang masih banyak berbaki,

dosa buat tiap-tiap hari,

aurat pun tak terjaga lagi,

masih sibukkan hidup selebriti

Datang pula;

Kerisauan melampau, tentang masa depan, 

andai umur ku panjang,

andai kesihatan tak mengizinkan, 

andai tak cukup wang untuk persaraan,

dan pelbagai lagi senarai kerisauan

Ya, Allah tahu ini yang sentiasa menghantui pemikiran.

Dan setiap masalah, ada ayat Al-Quran yang menjadi rujukan, yang memujuk hamba ini untuk kembali ke pangkal jalan,

Kerana hidup ini tidak panjang, 

Yang akhirat yang akan kekal,


وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْأُولَىٰ

“Sesungguhnya, Akhirat itu lebih baik bagimu dari dunia”

Surah Ad-Dhuha , Ayat 4

Sumber: Ad-Dhuha sebagai penawar Anxiety dan kemurungan

Kesusahan mahupun kesenangan yang dimiliki akan hilang,

Yang Allah tak pandang kejayaan kau dengan title kau sekarang,

Yang penting adalah berapa amalan kau untuk menghadap tuhan,

ketika jenama baju yang kau pakai tiada siapa yang hairan, 

hanya berkain kafan. 

Dunia ini kau akan tinggalkan, jangan kau bimbangkan,


Benarlah,

Dengan mengingati mati hati akan jadi tenang.

Ayat ini selalu menjadi pujukan aku jika galau.


Dunia ini tempat meninggal, bukan tempat tinggal.

Agar kita sama-sama dapat menikmati hidup dengan tenang, mati juga dalam senang. 





Terima kasih kawan -kawan ku yang masih Allah pinjamkan untuk aku, Nisak , Fatma, Cik Ana atas ingatan.



Kalau pakai mask, ada orang panggil adik, kalau buka, habislah pecah lobang; jadi kakak. Ya, acik tengah cuba nak terima kenyataan lah ni #indenial #siscuba


Saturday, January 20, 2024

Sembang Rambang

As Salam,


Sepanjang aku ulang alik pergi kerja dengan bas awam selama 2 tahun, jarang sekali aku berborak dengan orang yang duduk di sebelah aku.

Kebiasaannya aku tak berminat untuk berbual. 

Malas.

Lebih suka menghadap pemandangan luar atau scroll phone.

Tabiat yang agak anti sosial, tapi begitu juga dengan orang lain yang asing dalam bas.

Seingat aku ada lah 3 kali aku pernah berborak dengan orang yang duduk sebelah aku.

Semua menghadap telefon.

Pertama kali, 

dengan kakak berbangsa India, perbualan yang aku boleh masuk. Masing-masing beri respon yang baik.

Kedua, 

Dengan perempuan lebih muda daripada aku , rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Singapura. Sekadar bertanya, adakah ini barisan yang betul semasa naik bas.

Ketiga,

hari ini. Dia masih di depan aku.

Seorang lelaki Melayu Singapura.

“Awak kerja di Singapore, kat mana?”

“Seagate”

“Husband pun kerja di Singapura?” 

Ah, ni yang aku malas nak berbual ni.

“Tak”

“Oh, husband kerja di Malaysia?”

“Tak..belum kahwin”

“Oh belum, rupa macam dah ada anak satu”

Kau fikir apa perasaan aku masa tu. Di tampar oleh realiti.

“Umur berapa? 30s , 37?”

Aku angguk.

Seterusnya, dia bercerita tentang wife dia dah meninggal 8 bulan.

Dan bergurau. kalau dia pergi Pontian , boleh jumpa.

Bergurau pasal share nombor telefon.

Kenapa belum kahwin?

Bla bla.. 

Langsung aku tak minat dengan perbualan tu. 

Tapi , aku hanya sengih di sebalik mask yang aku pakai.

Common sense lah bro, kalau orang tu belum kahwin, kau lagi cakap rupa macam dah anak. 

Lagi dengan orang yang first time jumpa. 

Tak bengang ke kau. Walaupun, benda tu betul.

Weh, aku hati tisu tau. Hahaha. Lagi umur menuju ambang 40an ni.

Lepas tu kasi ayat-ayat flirt. 

Ingat aku tak kahwin, desperate ke nak kahwin. 


Sehingga bas turun di imigresen Singapura, 

aku cuba melambatkan langkah aku.

Dia boleh tunggu, untuk aku jalan beriringan sehingga ke tempat scan passport.

Aku pilih line yang jauh darinya.

Dan ketika naik bas semula, aku duduk di kerusi terakhir yang masih available .

Dia berdiri berdekatan.

Aku ambil phone dan terus menaip di sini.

Alhamdulillah, bye manusia rambang.

Okay , dah nak sampai bus stop aku.

Sekian, luahan perasaan.


Sunday, November 27, 2022

This is My PM


As Salam,

Walaupun, tajuk mat salleh , tapi minta maaf ya , post ni dalam bahasa Melayu (adalah sikit bahasa Inggeris nak acah-acah)

Selain aku punya  English terhenti lepas SPM, buat pertama kalinya rasa teruja dan tak percaya yang aku akan bangga dengan Perdana Menteri aku.

Untuk pilhanraya kali ini, memang aku nak Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. 

Tapi, aku tahu jalannya bukan mudah, apa cara akan dilakukan agar DSAI tak dapat jadi PM.

Setelah beberapa episod drama pemilihan PM yang korang pun tahu macam mana.

Beberapa kali plot twist, yang buat jantung aku berapa kali nak gugur.

Hujung-hujung, aku redha kalau DSAI memang takkan dapat jadi PM.

Based on the comments, I know half of Malaysians do not like Anwar as PM, you know why lah kan, DAP thingy, slanders and see TSMY as hero during Covid days.

Hari Khamis masa meeting raja-raja , aku nervous teruk, lalu aku tidur pasal nak selamatkan jantung aku.

Bila bangun,  aku buka update di Facebook nak tahu perkembangan plot….

Ya Allahhhhh!!!!!!!!

It’s really happening!

Allahu Akbar


Sejak 1998, episod fitnah, dipenjarakan atas kesalahan yang tidak dilakukan, mak dan ayahnya meninggal semasa dalam tahanan. Selepas PRU pun, episod nak pilih PM punya payah ya ampun….



Walaupun aku tak pernah turun riot, buat demo di jalanan. Aku  percaya DSAI dianiaya dan dia seorang pemimpin yang berkaliber. 



Korang boleh tak suka Anwar Ibrahim.

Tapi, korang tak boleh benci dengan Wan Azizh

Susah untuk aku tak merasa kagum dengan isterinya Dato Seri Wan Azizah, anak-anaknya, Nurul Izzah dan lain-lain. Seawal usia muda berpisah dengan ayah, pergi ke mahkamah, menyokong ayah mereka.



Berbaju sekolah, sambil melaungkan Reformasi.
Maaf lah gambar curi, kualiti pun nan hado.



DSWA,  dulunya seorang pakar mata, ibu kepada 6 orang anak, yang tak minat politik dan pemalu, terpaksa terjun dalam bidang politik, memimpin parti Keadilan, menjadi ketua pembangkang, ahli parlimen, dan akhirnya jawatan tertingginya sebagai Timbalan Perdana Menteri Wanita Pertama Malaysia. 

Semua dengan izin Allah s.w.t.


Biar ramai orang mengeji, dia tetap setia pertahankan suami yang dicintai. Sorry aku tak guna beliau, bahasa Melayu aku pun level dia menurun lepas submit paper Bahasa Melayu SPM.


Faktor kejayaan DSAI, bukan semata-mata kerana seorang Anwar Ibrahim;

isteri dan keluarga, team yang bagus, strategi yang berkesan dan semangat yang tak luntur menjadi pemangkin , semestinya dengan kuasa Allah.

Orang yang tak ikut dengan siri perjuangan Anwar dan keluarganya akan ingat dia memang bersalah, mungkin tak faham, kenapa Anwar masih dipilih oleh sebahagian rakyat Malaysia.

Sama juga macam aku tak faham, kenapa Dato Sri Najib masih dipuji oleh penyokongnya walaupun pada aku memang sudah terang lagi bersuluh dia memang songlap duit.

Akhirnya, terpulang atas masing-masing, bacalah, tafsir dengan hati dan minda.

Hanya Allah yang tahu kebenarannya.

Kita semua manusia dan akhirnya akan kembali kepada pencipta. 

24 tahun berlalu, pada 24 November 2022,

Akhirnya, Dato Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

I’m thankful  that I still alive to witness this🥲

I was never proud before, but now I can proudly say, My prime minister is Anwar Ibrahim.


Dulu, ‘diheret’ ke penjara.


Sekarang, diiringi polis ke istana dan Putrajaya.


Inilah lumrah alam, kadang kau diatas dan kadang kau dibawah.

Hidup ini perlu diteruskan, ini bukan pengakhirannya. Perjuangan masih panjang.

Walaupun, DSAI telah dipilih oleh majoriti rakyat Malaysia, diangkat oleh raja-raja.

Masih ada bunyi-bunyi yang meraguinya dan cuba menjatuhkannya.

Buat masa ini, biarlah aku meraikannya. 

Aku tahu tiada siapa yang sempurna, 

DSAI juga ada khilafnya. 

Rakyat dan musuh memerhati rapat DSAI

Jika ada silap, pasti menjadi bahan ketawa.

Berilah peluang, beri masa.

Jika ada yang lebih layak, kita undi next pilihanraya.

sumber : instagram Wardina  

Didoakan semoga pemimpin kita dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, ikhlas, amanah dan memimpin Malaysia ke arah negara yang makmur.

Ok cukuplah politik buat masa ni, aku pun dah habiskan 3 hari scroll tik tok , sambil nangis tengok video depa. Hahaha, ok now time to move on. 

Tetap kena kerja , cari makan sendiri.


Monday, August 1, 2022

Pengalaman sewa studio selama 26 hari

 

As Salam


Aku rasa aku dah berpindah  berkali-kali lepas habis belajar.

1. Shah Alam Seksyen 13: Jadi cikgu tadika, tumpang bilik di tingkat atas rumah 2 tingkat yang dibuat taska.

2. Johor Jaya ; sewa bilik kongsi 2 orang. Kerja kilang di Desa Cemerlang 2 tahun 8 bulan.

3. UTM ; 6 bulan + 6 bulan tumpang bilik kawan

4. Pasir Gudang; Bukit Dahlia : 2 bulan

5. Shah Alam; tumpang rumah makcik 2 bulan.

6. Larkin ; sewa bilik kongsi 2 orang dalam sebulan kot

7. Flat PPR Sri Stulang; sewa bilik master kongsi 2 orang,  setahun setengah.

8. Woodlands  Blok 660; satu tahun

9. Woodlands Ring Road Blok 630; satu tahun

10. Central Park, Damansara Aliff , studio; 26 hari

Ya. 26 hari.

Dan, aku hanya bermalam jumlah tak sampai 7 hari dalam studio tu.




Dalam post ni aku nak cerita apa yang membuatkan aku membatalkan perjanjian sewa studio tu tak sampai sebulan. Oh, deposit hangus ya.

Pada mulanya, aku memang sangat teruja ya, nak sewa rumah kat Johor Bahru, setelah 2 tahun bayar mahal untuk sewa bilik di Singapura. 

Ini adalah keinginan aku sejak sekolah, duduk kondo, ada swimming pool, ada gym, privacy, lepak kat balkoni, tak jumpa jiran-jiran. Haha



Jadi, aku rasa inilah masanya untuk aku  ada whole space sendiri. Sebab daripada aku kecil aku tak pernah ada bilik sendiri, kebanyakkannya sharing, dah besar pun belum ada rumah sendiri lagi.

Tapi, itulah bak kata mak aku,  apa yang kita suka , belum tentu baik untuk kita.

Keburukan tinggal di kondo (studio) pada pendapat aku;

1. Open floor plan

Layout studio yang aku tinggal, sekeping je, tak de divider ke, mezzanine floor ke.

Masuk-masuk kau memang nampak semua. Benda ni okay memang best kalau memang aku sorang tinggal kau tak payah nak complicated , belok-belok buka pintu bilik semua. 

Tapi, dia akan jadi tak best bila kau nak menerima tetamu . Ye lah, kadang-kadang orang nak tumpang solat ke , nak hilangkan penat , baring ke. Macam aku kadang-kadang nak lari sekejap dari bersosial ke. Mana nak sembunyikan? Takkan dalam toilet je.Pasal tu jelah yang ada pintu pun. 

Walaupun, aku tinggal sorang dan tak menerima tetamu pun, aku masih tak selesa bila tiada bilik.

Privacy dan aurat adalah perkara penting dalam budaya dan agama kita. Dapur dan bilik adalah tempat yang selalu kaum wanita lepak.



Masa baru lepas pasang langsir. Terus gelap ya kalau tak ikat, dah kena pulak beli sheer curtain.
Nak rembat mak aku punya langsir, sekali senteng daaa

2. Parking 

Studio yang aku sewa tu tingkat  9, bersama parking kereta kat tingkat 7. Terus terang aku cakap , aku benci setiap kali nak parking . Setiap kali nak pergi parking , kau bayangkan aku kena tekan minyak, tekan brek, pusing stereng nak corner,  kereta lain lalu dari arah lain kena hati-hati, kena berhenti untuk bagi laluan kalau terpaksa, pasal laluan sempit. 

Bayangkan kena naik turun parking 2 kali sehari, tingkat paling tinggi sekali. Buang masa nak parking je guna berapa minit, berbanding kau parking depan rumah, okaylah paling tak pun rumah pangsa, parking semua kat bawah, tak payah kau nak panjat bangunan nak parking. Tapi, siapa cepat dia dapat lah konsepnya.

Kalau kereta yang parking kat ground floor , mungkin lah kena bayar lebih, pasal aku tengok banyak kereta besar- besar situ, kalau kenari ke kancil ke yang aku jumpa, ada, tapi kena clamp huhu.

Oleh itu, jika rumah anda, porch kereta depan rumah, itu ialah luxury. Kau tak payah angkut barang groceries punya jauh , bawa masuk dalam rumah.

Anda patut hargai dan bersyukur.


3. Tingkap menghadap garden, dan blok lain.

Garden tu satu level floor bawah aku, kalau aku buka langsir , aku akan terus nampak garden tu, dan orang yang kat garden dan yang dalam blok seberang pun boleh nampak aku kat dalam.

Untuk orang yang introvert seperti  aku, it is no no. Jadi balkoni kat depan tu memang tak berguna lah, sebab aku tak dapat lepak dek tempat tu bukan lagi privacy, aku nak tengok pemandangan, bukan nak tengok orang (walaupun orang tu bukan tengok aku pun)  Kalau nak tengok orang, baik aku bersidai kat mall, daripada bersidai kat balkoni.



4. Security 

Ni ada baik dan buruknya. Sememangnya kau kena masuk ada access card. Jadi, tak de orang asing boleh masuk kat kawasan tu.

Dia boleh jadi annoying, sebab kau kena sentiasa bersama-sama dengan access card tu. Nak masuk kawasan kondo kena tunjuk access card, nak tekan lif kena buh access card.



Menyampah sebab tangan aku tak free, lebih-lebih lagi kalau bawa barang banyak.

Bayangkan kalau ada tetamu, kau kena turun lif jemput dia bawa naik unit kau, sebab tulah, kena ada access card tu.

Barang-barang kau beli online semua hanya dihantar sampai security guard. Jadi, kau kena pickup barang tu kat security guard, lepastu kau kena tulis pulak dalam buku log security setiap kali ambil barang.

Ntah ek, dia macam kau dah biasa kerja senang, sebelum ni delivery guy hantar sampai  depan pintu , tapi  sekarang kau kena tambah kerja pi collect sendiri.  Jadi, kau merungut ah kan apa lagi hahaha.



Sheer curtain pun beli kat shopee, katanya privacy sheer cutain, tak boleh nampak apa yang kat dalam rumah, kita pun tak boleh nampak orang kat luar. Tak sempat guna lagi, berbungkus lagi ha. Link shoppee: Privacy sheer curtain

5. Kewangan

Aku agak tak bernasib baik kali ni, sebab masa aku survey tempat nak sewa tu, banyak iklan yang aku tengok dengan lokasi dan harga yang aku berkenan tu sudah diambil orang. 

Jadi, bila agen ni kasi ads studio ni dengan harga rm850, berbanding unit lain rm1000 ke atas. 

Aku terus amik, sebab takut terlepas, aku fikir tak pelah unfurnished pun, beli tilam sudahlah.



Akhirnya, aku kena fikir nak beli langsir, nak beli rel  sangkut baju, nak beli rak simpan baju. Nak beli peti ais dan macam-macam lagi. Jadi, banyak duit yang keluar. 


Bangga ya berjaya pasang sendiri terus feeling wanita independent , berjaya , cemerlang dan terbilang. Tohh. Link shopee : Bamboo railing cloth 

 Sesuai lah untuk orang yang selalu pindah macam aku, kang nak beli almari, kita ni tak de laki nak tolong angkut berat-berat eh, tiber.

Mana kau punya “hey, ma single ladies” 

*Menari Beyonce*

Nasib baik juga aku belum beli peti ais, kalau tak aku nak ngangkut keluar pulak naik Axia.

Demand kilang aku pun merosot, jadi tak de peluang untuk overtime, maka aku cuma dapat basic je.

Dengan gaji basic aku, aku rasa berat dan tak ikhlas  nak bayar sewa untuk tempat tinggal yang aku tak suka.


6. Agen

Bila ada perjanjian sewa, dan ada perantara iaitu agen, sememangnya agak leceh ya dan lebih memenangkan landlord. Satu kau kena bayar upah agen, lepastu kalau tak puas hati kau kena berurusan dengan dia juga bukan terus dengan owner.

Mereka  sememangnya akan based on contract, tak boleh tolak ansur.

Kemudian, aku rasa ini memang dah tabiat sales atau agen.

Sebelum close deal kemain laju reply, efficient gila.

Lepas dah close deal, dah dapat payment,

Ya ampun, macam orang bodoh eyyy aku send text tak de reply.

Nak anggap normal ke?

buh sound tiktok sat;

Nak normalise apebenda? Ini bukan culture ey, nak normalise normalise

Okaylah kau nak kata tak perasan, hari pertama aku send kau tak perasan, hari kedua send tak perasan lagi, hari ketiga send lagi text, pun tak perasan. 

Berbeza pulak dengan sebelum yang aku cakap agreed.

Bila aku mesej gaya melenting , ehhh , tiberr boleh terus  reply mesej. 

Aku punya water heater tak berfungsi. Technician  belum betulkan  sampai aku keluar, aku bayar deposit 7hb, bulan sebelum aku masuk lebih kurang . Total 6 minggu.

Aku mesej cara baik dia buat don’t know eh,

Dia kata tu hal kecil, sampai buat aku nak keluar rumah. Bukan aku tak boleh guna toilet tu pun.

Tak semestinya hal kecil bagi kau, hal kecil bagi orang lain.

Aku sakit hati mandi air sejuk satu hal.

Tapi, aku paling sakit hati kau palau mesej aku. Sebab bayar  bukan murah eh, aku kalau bayar sewa murah, agen fee pun tak de bayar, boleh je aku mandi air sejuk macam ais tu. Tak de masalah.

Ni dahlah kau bayar mahal, bayar agen fee lagi , eh air sejuk tu hati aku rasa menyirapppp eyy.

So, agen or sales person, please lah,  after service sales is equally important as (or maybe more than) closing the deal.

Secara umumnya, kalau servis kau bagus, memang orang akan recommend kau, kalau tak bagus? Lu fikirlah sendiri.

You are not selling the product, but you also selling the feeling.

Kau bukan jual sewa rumah je, kau jual rasa selamat, rasa selesa, rasa istimewa. 

Kau  sewa rumah kondo, berbanding kau sewa rumah flat tinggal. Kau beli beg tak de jenama, dan kau beli beg Chanel. 

Rumah adalah rumah, beg adalah beg? 

Bukan semata-mata itu ya.

Kenapa pelanggan beli beg Chanel atau beg berjenama?

Pelanggan bukan nak beli beg semata-mata, dia beli lifestyle, rasa yakin, rasa mewah, rasa dihargai.

Dan mungkin juga impian.

Daripada sewa rumah pergi ke bag Chanel ya.🤪

Daripada aku marah-marah, memenatkan badan, emosi dan mental aku.

Bye bye je lah.


Baru pindah, kemas semua, dah kena kemas semula. 4 kali mengemas ya kau dalam masa sebulan. Aku rasa barang aku ni sikit berbanding wanita-wanita lain. Tapi pun sangat memenatkan ya. Tak game-game ya mengemas dalam hidup ni.

7. Bukan jiwa

Okay, memang aku tak de view rumah tu awal-awal. Ini memang perangai aku, deal online, terus on, terus masuk pindah.Yelah, aku lupa dulu aku dok sewa bilik, jadi tak kisah sangat, sebab tak de contract setahun, kalau nak keluar kena beritahu 1 atau 2 bulan awal je. Perjanjian rumah sewa melibatkan kos yang tinggi ya Munirah. Ingat kat kepala tu.

Tapi, tulah sebab malas nak view and survey rumah banyak-banyak dan asalnya cuma nak feel apa rasanya duduk dekat kawasan kondominium, “ha rasain loh!”

Mula-mula aku okay je, bolehlah lebih kurang dengan view yang boleh kata satu level dengan public garden, parking tinggi dia semua, aku ingat aku akan biasa lama-lama, atau nanti aku parking je kat bawah luar security guard tu. Takpe lah aku cuba satu tahun.

Aku suka juga dengan size studio yang comel, kau tak perlu jalan jauh-jauh,  nak pergi satu bahagian , ke satu bahagian. 

Tapi, bila beberapa malam aku duduk situ, aku tak de rasa makin suka tinggal situ, rasa benci tu mengatasi rasa suka. Salah satu sebab; point no.6. Line UMobile pun hazab ya. 

Aku pulak ada satu tabiat, bila aku dah tahap tak suka tu, aku terus tinggal, tak boleh hadap lagi. Lantak situ.



Buat masa sekarang biarlah aku tinggal dengan mak pak aku. 

Masa hadapan? Adakah aku akan kembali tinggal di kondo atau seumpamanya? 

Masa hadapan manalah kita tahukan. Doa yang baik-baik.


#diariperempuannomad 😄



Saturday, May 14, 2022

Soalan untuk Tahun yang ke-34

As Salam,


Yuppp, dalam pejam celik pejam celik raya , begitu juga usia ku. 34 tahun.

Apa yang membezakan aku dengan diriku yang dulu? Apa yang masih sama?

Beza; tak mahu tulis.

 Yang sama? Masih comel.


Apa yang manusia berumur 34 tahun ni sudah lakukan sepanjang tempoh itu?

Berapa orang yang telah dia tolong?

Berapa wang yang dia telah berikan sedekah?

Berapa banyak ibadah yang telah dia lakukan?

Berapa ramai manusia yang senang dengan kehadirannya?

Atau mungkin….

Berapa orang yang telah dia susahkan?

Berapa wang yang telah dia bazirkan?

Berapa banyak maksiat yang telah dia lakukan?

Berapa ramai manusia yang disakiti dengan kehadirannya?

Aku bertanya pada dia, dia yang dalam diri aku…

😔

Selamat Hari Jadi

dan

Selamat Mendekati Mati

Munamuni

Sunday, October 17, 2021

Makna bersyukur

As Salam, 

Aku sebenarnya rasa aku ada masalah, tapi kadang-kadang aku rasa itu normal. Adakah itu termasuk jenis-jenis Toxic Positivity.? 

Aku adalah orang yang banyak nak express tapi aku tak pandai nak express apa yang ada dalam minda aku tu.

Ini termasuk dari segi lisan dan penulisan. 

Ya, aku ada masalah komunikasi.

Bila aku bercakap, aku gagap dan susah nak express kan apa yang aku ingin sampaikan. Dan, akhirnya, orang yang mendengar tak dapat seratus peratus apa yang disampaikan.

Contoh penulisan; Aku nak post kat social media pasal sesuatu isu tapi aku tak reti tulis , atau aku tulis separuh lepas tu aku delete, lepas tu aku tak jadi nak pos.

Sebab tu, aku selalu delete aku punya post lepas send Instagram, Facebook , waima whatapps pun.

Sebab apa?Sebab aku rasa orang akan salah dan tak  faham dengan apa yang aku nak sampaikan. Orang akan judge aku, apa yang aku tulis tu tak menggambarkan secara real apa yang aku sebenarnya ingin sampaikan.

Okay, sampai sini , korang faham tak? 

luls

Dan salah satu sebab tu aku selowww bab soc media termasuklah belog ni pun ...

Tapi, aku suka blogging ni sebab ini adalah ruang yang personal sangat, bila aku tulis blog ni aku tak letak harapan berapa likes, siapa views semua tu. Jadi, inilah ruang yang terpaling jujur yang aku mampu expresskan.

Pada aku, siapa yang baca blog aku ni level dia ala-ala master bukan asher-asher.

Fan sejati lah senang kata.. kah kah kah. Feeling lah sikit.

Ok, satu lagi sebab aku tak post kat Instagram,

Aku rasa low self-esteem.

Biasanya, post post kat Instagram, tentang pencapaian mereka, kerja mereka, apa yang mereka beli, ootd mereka, percutian mereka, rumah dan kereta mereka . Kira apa yang mereka ada.

Ini secara automatic akan membuatkan aku membandingkan dengan diri aku yang rasa apa pun tak da. Bukan dengki ya #perludisclaimer

Yalah, aku adalah operator kilang yang menumpang mencari rezeki di bumi orang, yang tiada kwsp, tiada pencen, tiada investment dan simpan yang banyak.

Walaupun, aku cuba tak nak buat perbandingan, tapi terbanding jugalah kan.

Jadi, aku rasa tak de apa yang indah, tiada yang aesthetic, tiada achievement yang aku banggakan.


Well, itu adalah lumrah alam.

Apa yang aku boleh kawal, ialah pujuk hati.

Gembira dengan pencapaian mereka.

Mereka berhak dapat atas berkat usaha mereka.

Gembira dengan kegembiraan orang lain. Juga satu nikmat kegembiraan. Juga gembira.

Dia bahagia, Saya bahagia.


Someone else getting richer doesn't

make you poorer.

Someone else being attractive

doesn't make you less attractive.

Someone else succeeding doesn't

make you failing.

Just focus on your life.


Di usia ini, dengan lumrah manusia tak kira berapa banyak harta yang kau miliki, sentiasa takut pada masa depan, takut miskin, dan aku sedar semua ketakutan ini diambil kesempatan oleh syaitan. 

Semakin risau, semakin kedekut, semakin nak simpan duit, semakin berat nak sedekah. 

Duit ini adalah fitnah, jika dipandang dengan nafsu, maka ia ibarat minum air laut, semakin diminum semakin haus. 


Itu yang dah kaya pun, jadi tamak, amik rasuah, duit tak pernah cukup, mahu lagi dan lagi. 


Aku mengingatkan aku tentang apa yang aku ada, apa yang Allah pinjamkan untuk aku.

Masa yang banyak.

Kesihatan yang baik.

Ibu bapa yang sentiasa mendoakan anak-anaknya.

Cukup makan dan pakai.

Perkara ini, aku perlu ingatkan sentiasa.

Ini kurniaan yang lebih dari sebahagian orang dari 'dunia' lain.

Ya , kau nampak di media sosial  semua indah-indah.

Aku dapat cerita daripada kawan aku, 

“Ingat tak Si Z, kesian dia, dia mesej sedih sangat.”

“Bang kalau kau boleh tolong aku, aku kalau nak pinjam memang tak kan  mampu nak bayar pun”

“Aku nak minta sumbangan. Aku faham kalau tak dapat bagi.”

Z ni baru dapat anak masa Covid tahun lepas, jadi dia memang tak masuk balik kerja Singapura

Dia sekarang kerja gaji RM1200. Dulu, paling kurang pun income SGD1200. Dengan sewa rumah, bayar kereta. Mana nak tanggung makan anak bini lagi.

Sebab aku kenal Z tu walaupun tak pernah bercakap.

Selalu nampak dia pergi sembahyang kat surau kilang kat tempat aku bekerja ni.

Sedih, walaupun tak kenal rapat, tapi aku tahu dia budak yang baik.

Astaghfirullahalazim

Sungguh ya Allah aku terlupa, di mana di media sosial orang mempamerkan dunia, dan membuat aku hiba. Hiba kerana membandingkan aku yang tiada apa.

Tapi, di sebelah dunia yang lain, lebih ramai lagi yang berkira-kira samaada nak beli beras atau isi minyak motor.

Atau susu untuk anak kecil.

Sungguh aku mengaku, aku risau tentang masa depanku. 

Adakah sempat aku menikmati usia tua atau mati muda?

Jika lanjut usiaku, adakah aku boleh hidup tanpa meminta-minta pada manusia?

Ya, aku tahu, masa adalah milik tuhan. 

Rezeki milik Allah.

Usah risau tentang perkara yang belum pasti.

Ia pasti akan datang juga.




Sebab tu, kadang-kadang aku berhenti buka media sosial terutama Instagram sebab aku rasa kat situ, buat aku down. 

Aku lupa berapa banyak akaun kat Instagram yang indah-indah tu, berapa ramai yang derita di luar sana, yang langsung tak de mood nak buka akaun media sosial. Mungkin sibuk buka Apps Grab Food, atau Food Panda menanti order masuk. 

Tik Tok pula sebaliknya (setakat ini lah) aku lebih belajar tentang kehidupan sisi manusia yang lain yang lebih kena dengan aku, buat aku rasa It’s okay for not being rich, for not being so called successful, young and beautiful, for being single, for being mediocre. It’s totally okay. Mungkin sebab Tik Tok lebih kepada strangers dan bukan dikalangan kawan-kawan atau kaum kerabat yang kau kenal. Jadi, kuranglah perbandingan di situ.

Hadis berikut ini selalu mengingatkan aku, dia macam penampar kat diri sendiri, macam terus tembak tepat ke hati, terlanggar hidung sendiri. Memang sifat manusia itu semula jadi cinta pada material, takut pada kemiskinan, jadi dengan sedekahlah dapat jinakkan nafsu liar kedekut kau tohh.

PAHALA SEDEKAH YANG PALING BESAR.

Nabi s.a.w bersabda :

"Engkau bersedekah pada saat engkau masih sihat , saat engkau takut menjadi fakir, dan saat engkau berangan-angan menjadi kaya.

Dan janganlah engkau menunda-nunda sedekah itu, hingga apabila nyawamu telah sampai di halkum, engkau baru berkata, "Untuk si fulan sekian dan untuk fulan sekian, dan harta itu sudah menjadi hak si fulan.*

HR. Bukhari 1419 dan Muslim 1032


Selami makna bersyukur, nikmati rasa bersyukur itu, maka kau akan rasa cukup. 

Nikmat mana yang mahu kau dustakan?

Thursday, August 13, 2020

Suatu Hari yang Suram

 As Salam,


Aku terbaring sendiri, melihat siling,

Setelah bosan menghadap skrin retak hp Sony,.

Menonton pelbagai update kehidupan manusia di IG. 

Ada yang buat aku rendah diri tapi mesti lah aku happy, mereka berjaya dalam bidang yang mereka ceburi, inspirasi buat diri ini.

Aku dengar kata-kata jangan  menyalahkan diri,

ini adalah jalan yang kita pilih dan qadar dari Allah. 

Jika kau mahu bahagia, maka bersyukurlah


Aku tak pernah rasa sesunyi ini,

Aku ada keluarga dan sahabat di sisi sebelum ni

Adakah ini dikatakan homesick? 

Bukankah ini yang aku mahu? 

Berehat dari kemas rumah, cuci sinki? 

Adakah ini namanya rindu? 


Dengan banyak perkara yang berlalu di dunia ini, Covid-19, letupan di Lubnan, kehilangan pekerjaan, kehilangan orang yang tersayang. 


Adakah aku layak untuk mengeluh? 

Sedang ramai yang hilang tempat berteduh?

Biar aku mengalir kan air mata, agar aku hargai bila sampai detik aku ketawa. 


Biar aku tulis di sini, buat memori. 

Munirah, 

13 Ogos 2020

1.46 am, 

 Singapura.




Sunday, March 22, 2020

Berperang dengan Virus Covid-19

As Salam,

Selama ni aku elak untuk bercerita masalah aku di media sosial... Acehceh.

Benornya aku malas nak tulis.. Kih kih kih.

Tapi, seriously this Corona-kaukumasihdisini virus really hits me hard.

 Kenapa aku rasa susah?
 Sebab ia akan melibatkan komitmen aku terhadap orang yang paling dekat dengan aku.

Aku pernah accident 2 kali, kereta rosak 2 kali kali, dua-dua sebab aku yang langgar.
Masa kereta rosak dan kemalangan tu, aku rasa aku susah, helpless sebab kena susahkan orang lain.


Bila bercakap tentang kewangan dan komitemen, aku adalah orang yang paling tak suka dia-dua perkara tu.


Aku banyak kali ulang kalau berbual dengan kawan-kawan aku.

Kenapa tak kahwin?

Okay, selain sebab tak de orang nak, *Uhuk uhuk   #uglytruth

Aku tak suka pada komitmen.


Aku boleh hidup gaji sikit kalau aku cuma tanggung diri sendiri, tapi bagaimana kalau ada tanggungan, orang dalam rumah tak cukup nak makan, tak boleh bayar bil, tak de duit nak isi minyak.

Bila ada tanggungan, rasa stress tu semestinya berganda-ganda berat. MasyaAllah.

Dan aku hanya alami perkara ini di usia aku 32 tahun. Di tahun 2020.

Ya, sebelum ini, aku tak kisah tukar tukar kerja. Sengkek. Sebab aku tak da tanggungan.
Mak pak aku masih berpendapatan tetap. Aku tak de anak.

Aku tak de hutang bank.

Aku berserah pada Allah swt atas perjalanan takdir aku.

My life was completely laid back at that time.
Masa tu pakai kancil. Stress aku pada kereta tu yang selalu rosak, tak seteruk aku setiap masa fikir bila nak habis hutang kereta Myvi yang aku pakai sekarang ni.

Aku theoretically aware pasal financial, fasal kepentingan membuat pelaburan, kepentingan mempunyai pendapatan kedua, aku ada buat untuk terlibat dalam business.
Tapi, setakat ni semua tak memberansangkan, dan aku rasa aku memang tak de bakat dalam meniaga ni.

Haha, orang yang bercinta-cita tinggi dan orang business memang akan mengata aku, sebagai seorang yang mudah putus asa dan malas berusaha.


Well well well..


Sejak kerajaan Malaysia mengumumkan social distancing order @ restriction movement order @movement control order @ partial lock down @ total lock down, atau apa-apa yang korang nak panggil bermula 18 mac 2020, pada 16 mac, semua menjadi kelam kabut,

Kilang tempat aku kerja di Singapura, melakukan survey urgent,

16 Mac: 1. Siapa yang boleh stay di Singapura, dengan accomodation sendiri?
                  2. Siapa yang boleh stay di Singapura, dengan disediakan accomodation

aku pilih yang ke -2

Namun, aku terima hakikat, company tak mampu sediakan tempat  sepantas satu hari untuk pekerja yang sangat ramai, (yang naik bas ulang alik , JB-Singapura, 14 bas setiap shift, ada 4 shift, tak termasuk yang ulang alik naik motor).

17 Mac: Senarai yang bekerja hanya orang yang ada accomodation sendiri sahaja (bermaksud tak disediakan accomodation untuk yang tak de, sekaligus tak boleh nak kerja) 17 haribulan tu sepatutnya shift aku start, jika aku pergi kerja  kerja malam tu, esok paginya 18hb aku  tak boleh balik Malaysia.

18 Mac : Kerajaan negeri dan menteri pertahanan, membangkitkan isu untuk pekerja yang mempunya work permit untuk meneruskan pekerjaan seperti biasa.


19 Mac:  Masih menunggu. Menteri pertahanan hanya beritahu, orang yang bekerja di Singapura boleh terus bekerja (Imigresen masih tak bagi  pekerja dengan pas pekerja melepasi sempadan Johor nak ke Singapura)
Perdana Menteri sekali lagi buat perutusan khas supaya duduk di rumah,
Siapa yang berada di Johor Bahru, sila duduk di Johor Bahru. Siapa yang berada di Kuala Lumpur , sila duduk di Kuala Lumpur.

20 Mac: Supervisor mesej minta gambar passport, dia suruh standby untuk masuk Singapura. Aku dapat lihat, operation kilang akan tempang, operator ramai orang Malaysia, diaorang tak dapat capai mass production, dengan adanya sekatan ni.

Daripada 4 shift, hanya 2 shift je yang jalan, kedua-duanya shift siang.

Malam,  9.31pm, bos bagi surat melalui whatapps, dia kata ada 2 jam sebelum 11.59pm untuk aku merentas Tambak.
Selepas 12am, kalau aku masuk Singapura, aku akan dikuarantin selama 14 hari.
Ketika itu, membongkang lagi kat rumah mak pak aku, di Pontian.
Baju satu apa tak kemas, setelah sesi whatapps call dan mesej  yang genting melibatkan rakan-rakan seperjuangan yang lain, ibarat perjuangan hidup dan mati, nak gerak ke tak nak ke, masa itu ibarat MASK,  ketika itu, sangat berharga.
Aku amik baju, pakai tudung, cuba sumbat apa yang sempat dalam beg.
tapi, hati aku masih ragu-ragu.

 Aku stress.

Setelah 20 kali tanya kat kawan-kawan, ada yang tak boleh pergi, aku pun rasa, aku tak dapat lepas imigresen dengan waktu yang begitu menekan.

Salin baju tido balik, tutup muka dengan bantal.


11.44pm, dapat mesej, yang imigresen tak bagi keluar walaupun ada surat. Jadi, siapa yang dah pergi CIQ tu, sia-sia je, kena patah balik.


21 Mac : Supervisor dan Manager telefon, dengan memberi pilihan, adakah aku sanggup untuk pergi ke Singapura jika Malaysia border benarkan untuk lepas. Kuarantin selama 14 hari dan mungkin kena stay di Singapura selama 3 bulan, tanpa balik ke Malaysia. this is tough dude.
Tetapi, bila difikirkan duduk di rumah di Malaysia tanpa kerja, tanpa pendapatan, runsing fikir nak makan apa, lebih baik kerja, yang kena risau adalah kalau ada apa-apa jadi kat Malaysia, susah nak balik atau mungkin tak dapat balik.

Tapi, manusia harus memilih,

Dan pilihan ini pun masih belum pasti.

Esok mungkin akan tiba, namun nasib belum tentu menyebelahi kita.


22 Mac: Kerajaan Singapura sudah pun membuat sidang media dan mengehadkan kemasukkan rakyat Malaysia dengan pass perkerja masuk ke Singapura. Hanya industri berkepentingan seperti kesihatan dan pengangkutan je boleh.
Singapura pun sudah mencatatkan 2 kematian akibat wabak ini.

Harapan aku makin tips untuk BEKERJA.

Aku fikir hutang yang perlu dilangsaikan, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Aku menangis lagi (setelah episod nangis mintak MC)


YA Allah, sungguh kami tak berdaya, Tiada daya dan kuasa kami
YA Allah, hanya Kau yang berkuasa atas kami.




Ketika ini, musuh aku sebenarnya adalah diri sendiri yang selalu fikirkan tentang duit dan keduniaan hampir setiap masa, dan Covid-19 hanya sebagai subjek untuk aku letakkan kesalahan.

Bantu aku untuk redha, Ya Allah.

Friday, April 26, 2019

Kebal Puji, Kalis Keji

As salam,

Babak 1:  31? Tak percayalah


Manusia 1: Semoga mendapat jodoh yang baik, cepat kahwin.

Manusia 2: Carikan dia boyfriend dulu.

Manusia 1: Ni, tak de boyfriend?  muka macam ni tak de boyfriend ?"

Manusia 2: Tak pe muda lagi.

Manusia bernama Munirah: Alah, kita dah umur 31 malas dah nak fikir, dah tak de feeling 

Manusia 1: Ye ye je kau umur 31, mana IC? Walaupun muka dia ni naif, jangan percaya.

Manusia bernama Munirah tunjukkan kad. 

Manusia 1 dan 2 : Aah lah 31. *Diam


Babak 2: 31? Muka Tua 

Manusia 3: Nak tak kita kenalkan dengan adik kita?

Manusia 4: Eh, buat apa, nak kenalkan dengan adik. Nanti adik dia reject, kang tengok muka tua, malu je".

Manusia 3: Tak pe muka tak cantik. Tapi, hati baik.

Manusia bernama Munirah ; sengeh macam kerang busuk :D

Perangai dan mulut jahat vs perbezaan bangsa, dan asal keturunan

Setiap kali, aku jumpa dengan manusia yang perangai dia tak best,
lebih-lebih lagai kalau manusianya berasal dari negeri lain atau bangsa lain, 
Aku selalu ada terlintas di hati mengklasifasikan mereka semuanya sama.

Setiap kali seorang manusia yang bangsa lain atau negeri lain yang aku jumpa tak best tu, 
aku akan ingat dan pujuk diri aku, aku pernah jumpa mausia dari bangsa dan negeri mereka , 
yang mashaAllah baiknya dan aku pernah jumpa dari bangsa dan negeri aku yang lagi tak best perangainya.
(Paham tak susunan ayat aku ni?Kang kalau aku cakap lagi berterabur)




Buruk Puji dan Baik Keji


Setiap kali aku suka bila ada orang kata aku nampak muda, (dan cantik :P )
Atau sesekali orang yang baru kenal aku beberapa jam, kata aku baik

Sungguh pujian itu membuat aku gembira, kecuali puji tang baik tu..haha


Doa apabila dipuji;
اللَّهُمَّ لا تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ، واغْفِر لِي مَا لَا يَعْلَمُونَ واجْعَلْنِي خَيْراً مِمَّايَظُنُّونَ
Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang dia ucapkan, ampunilah aku, atas kekurangan yang tidak mereka ketahui. Dan jadikan aku lebih baik dari pada penilaian yang mereka berikan untukku.”
Doa ini diriwayatkan Bukhari dalam Adabul Mufrad (no. 761) dan sanadnya dishahihkan al-Albani. Juga al-Baihaqi dalam Syua’abul Iman (4/228).




Siapa yang lebih mengenali diri?
Kalau tidak tuan empunya diri dan tuhan.

Siapa yang tahu niat dalam hati,
Kalau bukan tuan punya hati dan Penciptanya.
Dia yang menutup keaiban  kita pada ketika itu.

Kita pujuk hati kita agar tidak merasa  sombong dengan pujian sebab tu baik juga ada orang mulut lahar sembur kau, baru kaki kau jejak ke tanah, kalau tak jalan atas angin memanjang, hidung kemain tinggi,





Manusia dianugerahkan sifat semula jadi untuk suka berbuat baik dan setiap manusia ada sisi baiknya,
Tapi, biasalah nafsu dan syaitan dah train kita untuk jadi jahat sejak azali lagi.
Ha, mulalah tu nak salahkan syaitan pulak.


"Wow, sedap air kau buat, manis macam tukang buat"

(Agicu bak kate kak lina pom pom.)
Apa perasaan orang yang dipuji tu?
Walaupun stuck dekat jam otw pergi kerja, dia masih boleh tersenyum sepanjang hari.
Disclaimer : Pujian Ikhlas ya, bukan membodek.

Ataupun,

"Eh, kau pakai baju ni nampak macam mak cik lah"

Ape perasaan mak cik mak cik di dunia ni...
Ayat ni menggambarkan mak cik tak kerlass, walaupun, sebenarnya mak cik lebih vogue dari budak-budak baru nak up #sayapundahlamajadimakcik.

Okay. Ini bukan pasal mak cik.

Ada ketika aku memang jujur. Cantik aku akan cakap cantik, buruk aku cakap buruk.

Betapa tajam nya lidah hingga dia boleh memberi emosi kepada seorang manusia.

Aku tak tahu berapa banyak hati yang terluka sebab mulut aku.

Aku lupa betapa perkataan negatif memberi kesan kepada aku hingga aku sanggup melakukan perkara itu pada orang lain.

Aku seorang yang pelupa. Tapi, aku masih ingat perkara yang negatif orang pernah cakap kat aku.

Sampai sekarang ia memberi kesan kepada tahap keyakinan aku.

Aku tahu orang yang hebat dan korang akan, ambil perkara perkara yang baik, dan  tak peduli serta menjadikan perkara negatif sebagai pemangkin semangat.

Tapi, tidak untuk aku. 

Jadi, cakaplah perkara yang baik (bukan semata-mata pujian) pada sesiapa sahaja.

Tanpa anda sedar, mungkin ia adalah antara penyebab kejayaan seseorang.

Lebih baikkan daripada menjadi salah satu sebab kemurungan seseorang?





Bila ditanya kepada anak-anak muridnya , Apakah  yang paling tajam?
Imam Al-Ghazali mengatakan bahwa yang paling tajam itu adalah lidah. Karena dengan lidah, manusia kerapkali menyakiti perasaan orang lain bahkan kerabat dekat sekalipun.  Sebagaimana pepatah mengatakan, "Kalau pedang melukai tubuh ada harapan akan sembuh, tapi kalau lidah melukai hati kemana obat hendak di cari?".

Kepada anda yang menerima pujian.pulak Harap tidak sombong dan menerima pujian itu melebih-lebih.


Kepada yang memberi kritikan, pastikan jangan sampai menghina. (fizikal is so no no)
Bagai menghela (menarikrambut dalam tepungrambut jangan putus, tepung jangan berserak. 
Bak kata budak-budak kalau gaduh , 
"Mulut kau tu jaga, jangan kerana mulut badan binasa, masuk neraka"

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: 
“Amal yang paling banyak memasukkan manusia ke surga ialah taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Baginda ditanya lagi, Apa penyebab banyaknya manusia masuk neraka?” Rasulullah SAW menjawab, “Mulut dan kemaluan.” (Riwayat at-Tirmidzi). 

Bersederhanalah.
Jangan simpan pujian di hati, jangan ambil hati pada kejian.

Amalkan Kebal Puji, Kalis keji,
Atau peribahasa melayu, Tak hidup dek puji, tak mati dek keji.


Ha kau, peribahasa keluar semua, amacam karangan aku. Boleh dapat A tak?


md; Peringatan kepada diri sendiri.