Wednesday, November 20, 2019

kisah mbah saya II

As salam,

Ibu bapa dan orang tua adalah anugerah,
Anggaplah segala ketidakupayaan mereka sebagai anugerah,
Dengarlah segala bebelan mereka sebagai anugerah,
Pandanglah mereka sebagai satu anugerah.

Allah memberi peluang kepada kita,
Allah menguji kita adakah kita pandang mereka sebagai anugerah atau bebanan

Dalam kisah mbah saya, aku ada tulis mbah aku kahwin pada umurnya 14 tahun
Satu hari , aku bertanya lagi tentang itu kepada mbah aku, 

Untuk baca Kisah Mbah Saya yang ditulis pada tahun 2013 > Kisah Mbah Saya

3 perenggan pertama diatas, aku jumpa dalam draft aku, tahun 2015.

Punyalah lama, sampai aku pun dah lupa apa nak tanya kat mbah .

Mbah telah duduk kat rumah mak aku, dalam 10 tahun.

Dalam tempoh tu ada beberapa kejadian yang aku nak cerita, tapi sifat bertangguh aku memberi kesan ya..
Apa yang aku nak cerita tu berlalu bak angin lalu... tuhhh..
#keepontypingmunirahjanganstop #kalautaktahulahtahunbilapulaknaksambungtulis


Semalam, 19 November 2019;

Aku bangun dari tidur, mak aku kejut, pasal ada kawan dia nak tumpang sembahyang.

Aku ni ada perangai kesurupan sikit kalau bangun tidur orang kejut.
Lebih-lebih lagi time tu dengan rumah bersepah , tak bersedia nak terima tetamu.
Ya, time rumah aku dah kemas, aku dah mandi, jarang orang datang.
Biasanya, rumah aku macam tongkang pecah, aku tak siap , muka berminyak, rambut macam berus periuk. memang time tulah orang datang.

Dan kebanyakannya  ialah bila rumah aku di situasi yang kedua itu.

Sedang aku mengamuk-mengamuk dek kesetanan,
aku dengar bunyi mbah aku jatuh, dan suara mbah aku panggil.
Sebenarnya beberapa kali juga mbah aku jatuh, biasanya terduduk.


Aku selak langsir bilik dia.
Hampir putus urat ketenangan aku.

Suara mbah mengaduhhh...

Mbah aku jatuh tertiarap.
Tongkatnya dibawah kakiknya,
darah menitis ke lantai, sama ada daripada mulutnya atau hidungnya.


Situasi itu sukar untuk aku ceritakan.

Aku rasa cuak, takut , sedih tengok keadaan mbah waktu itu. bertuala, baru lepas mandi.

If only I am good with word and can project my feelings during that moment into video.



By the way, Mbah aku memang menghadapi luka/kudis di hidung, doktor menasihatkan untuk buang, kalau tak buang, ia akan membesar.
Tapi, di hari pembedahan, dah masuk dalam bilik bedah dah pun, tiba-tiba mbah aku yang selama ni jenis tak banyak perangai sungguh-sunguh tak mahu.
Doktor tak boleh paksa, itu atas kehendak pesakit.

Kudis tu makin besar.

Setiap kali aku tanya, pasal hidung dia, rasa sakit atau tak, dia cakap tak. Tapi, tangan dia selalu usik kudis di hidungnya.

Berdarah.
Di telekung dia, banyak kesan darah.


Antara tabiat mbah aku sekarang, 20/11/2019 untuk rekod;

Kadang-kadang, dia macam bingung.
Dia akan angkat tangan, berdoa, beberapa saat. Kemudian, selang beberapa minit, dia akan ulang lagi perbuatan itu. Pernah aku tanya sekali, mbah doa apa, dia cakap sembahyang.
Aku pasti dia tak sedar perbuatan dia tu.


Dia semakin lemah untuk berjalan menggunakan tongkat, jarak perjalanan dia makin pendek.
Dulu, dia boleh bertongkat dan berjalan, dari rumah aku ke rumah mak na, dalam jarak lebih kurang 100-200 meter.

Kemudian, dia hanya boleh berjalan dari bilik dia, di ruangan depan ke dapur.

Sekarang, mak aku dah letak air minuman dan makanan di ruang tamu, sebelah dengan bilik mbah aku.

Banyak kali, mbah aku 'terlepas' sebelum ke bilik air, maklumlah pergerakan tak selincah dulu.

Setiap kali soalan yang sama diulang dalam selang beberapa minit, aku cuba jawab, walau hati tak senang.

Kadang, timbul rasa kasihan. Perjalanan hidup mbah aku tak mudah sejak kecil.

Kalau dengan apa yang dilalui waktu kecil berlaku pada zaman sekarang ni, mungkin dikira penderaan dan boleh hadapai tekanan mental.

Kadang, aku tertinggi suara dan tak dapat layan mbah dengan lemah lembut.

Dan ketika ini, aku teringat, bila mak aku tak de, bila aku kecil, mbah akan datang ke rumah aku, temankan aku.

Bila ada kentos (tombong kelapa), mbah akan simpan kan, dan hantar kat rumah aku.

Aku harap, biarlah hanya yang manis sahaja yang aku akan ingat,
kerana mengingati benda yang pahit sungguh merosakkan jiwa.




Betapa pentingnya  memuliakan ibu bapa, sehingga Allah menyatakn dalam firman, jangan menyekutukan-Nya bersama-sama dengan ayat berbuat baik kepada ibu bapa.


Sungguh laluan syurga penuh kesukaran, laluan ke neraka penuh dengan hiburan.
Dunia ini tempat bekerja, akhiratlah tempat kita menikmati hasilnya. Janji Allah itu pasti.

Allah SWT berfirman, "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa." (Surah al-Nisa, ayat 36)
sumber: https://www.bharian.com.my/node/84268
Semoga Allah ampunkan dosa kita semua.
Iklan: yang tak tahu kentos tu rupa bagaimana;


Yang kecil lagi sedap daripada yang besar, hat besar dia tawar sikit.
Tapi, aku balun je semua.